Saturday, November 10, 2012

PANDANGAN PROF DR ZAINUL FITHRI - PENGANALISA EHWAL POLITIK TANAH AIR, MENGENAI KENYATAAN YB NURUL IZZAH


Assalamualaikum kepada pembaca blog kapaktajam yang budiman.

Kali ini kapak ingin mengutarakan pandangan seorang ahli penganalisis politik tanahair dan berjawatan sebagai Pengarah, LEAD Institute Malaysia, mengenai polimik yang disensasikan oleh YB Nurul Izzah tentang kebebasan bersuara waima ia menyentuh Perlembagaan Negara yang telah termaktub mengenai Umat melayu Islam didalam status beragama. Apa yang di ucapkan oleh YB Nurul Izzah adalah selari dengan bapanya yang mendokong pluralism beragama dan kebebasan bersuara dan hak adalah mengatasi batas-batas yang telah ditetapkan didalam Islam. Marilah kita selidiki pandangan Prof Dr Fitri ini dan kita perbandingkan dengan apa yang dituntut oleh Islam serta yang yang mahu diketengahkan oleh Sdr Anwar Ibrahim bersama suku sakatnya. Petikan adalah seperti berikut:-


Kenyataan oleh Nurul Izzah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, anak kepada Ketua Pembangkang  Dato Seri Anwar Ibrahim yang juga pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia; yang dikenali ramai sebagai pejuang Islam di dunia nusantara ini pada suatu ketika dahulu, amat mengejutkan ramai pihak terutamanya golongan yang membaca dan bangsa Melayu. Tetapi, kenyataan sebegitu bukan perkara baru. Naib Presiden PKR Nurul Izzah sekadar mengesahkan ungkapan yang di war warkan oleh bapanya sendiri sewaktu wawancara di luar Negara bersama media. Contohnya Anwar Ibrahim telah mengatakan kepada media antarabangsa bahawa beliau menyokong Lina Joy sebagai seorang Melayu Islam berhak untuk murtad atas dasar kebebasan hak asasi manusia tidak lama dahulu. Namun demikian kita tidak perlu membincangkannya lagi oleh kerana masing masing sudah sedia maklum dan rata rata rakyat Malaysia sudah tahu. Berbekalkan fakta ini, saya ingin mengajak para pembaca untuk melihat dan mengkaji “forum” ini dari sudut pandang yang lebih mendasar dan fundamental yang jika benar benar difahami bisa merobek hati dan sanubari setiap umat Islam di Negara ini.  Untuk pengetahuan umum, “forum: ini telah diberikan liputan terperinci oleh sebuah laman web kristian iaitu www.1christians.blogspot.com dan dan juga di antara portal yang pertama yang memaparkan perkara ini adalah Malaysiakini dan  Malaysia Insider.

Mari kita lihat “forum” ini terlebih dahulu untuk memahami senario yang sedang berlaku dengan lebih mendasar. Pertama: “Forum” ini adalah mengenai persoalan ciri ciri dan pertanggungjawaban tentang perlaksanaan sesebuah Negara Islam. Kedua: “forum” ini di dianjurkan  oleh gerakan kristian yang bernama Oriental Hearts and Minds Study Institute (OHMSI) dan diadakan oleh pihak sebuah gereja bernama FULL GOSPEL TABERNACLE, USJ, SELANGOR. Ketiga: Moderatornya selaku pengerusi majlis adalah Dato’ Dr Cyrus Das yang seorang yang bukan beragama Islam. Ke empat: Ucap Utamanya  adalah dari Dr Ahmad Farouk Musa seorang pakar kardiologi Fakulti Perubatan di Monash University Malaysia; Ke lima: Panelisnya adalah: Dr Syed Farid Alatas dari National University of Singapore; Malik Imtiaz (dari Human rights Association); Dr Wong Chin Huat (seorang aktivis sosial); YB Mujahid Yusuf Rawa mewakili PAS; YB Nurul Izzah mewakili PKR; Datuk Kenny Ng (peguam) ; dan YB Baru Bian mewakili Sabah dan Sarawak. “Forum” bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengahari.
Berhubung dengan perkara di atas: Jika kita lihat dari moderatornya sehinggalah panelisnya kecuali YB Mujahid Yusuf Rawa, semuanya tidak mempunyai kekuatan dalam bidang Islam. Moderatornya selaku pengerusi majlis adalah seorang kristian, ucaputamanya pula seorang pakar jantung, dan panelisnya yang majoritinya bukan berlatarbelakangkan bidang pengajian Islam. Apakah mereka layak membicarakan atau mempersoalkan dasar dasar berhubungan dengan ciri ciri dan tanggungjawab perlaksanaan sesebuah Negara Islam? Adakah pihak penganjur dan para panelis tersebut mempunyai otoritas yang tuntas membicarakan perkara ini? Kalau secara otoritas intelektualnya, mereka memang tidak layak dan tiada nilai keintelektualan. Boleh kita rumuskan bahawa “forum” ini  tidak mempunyai nilai intelektualan yang tinggi. 

Kedua:  Dengan kehadiran YB Mujahid Yusuf Rawa selaku wakil rakyat PAS mewakili PAS, kehadiran dan kesanggupan beliau menjadi panelis telah menampakkan bahwa PAS seakan akan memberikan endorsemen kepada gereja untuk membincangkan dan mempersoalkan ciri ciri dan tanggungjawab pelaksanaan Negara Islam yang telah menjadi satu doktrinasi asas perjuangan PAS selama ini.
Pengendorsan ini memberikan impak kepada perjuangan PAS. Apakah PAS sudah mahu mengwujudkan satu fahaman liberalisasi di dalam PAS? Tiada sesiapa pun membuat liputan apa yang diperkatakan oleh YB Mujahid selaku panelis di dalam forum tersebut. Apakah Mujahid membantah? Atau menerima kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah? Jika Mujahid menerima kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah maka inilah kenyataan Pakatan Rakyat dan sekali gus PAS telah memberikan pengiktirafan kepada kenyataan Naib Presiden PKR serta penganjuran “forum tersebut. Ia juga sekali gus memberikan endorsemen dan sokongan kepada Gerakan Melayu Liberalis (GML) di Malaysia. Jika benar bahawa PAS memberikan endorsemen, apakah ini suara semua ahli PAS seluruh Negara? 

Ketiga: jika kita lihat, saya pasti hampir semua panelis kecuali yang bukan warganegara Malaysia, adalah dari Pakatan Rakyat. Oleh itu bolehlah dikatakan bahawa apa jua kenyataan yang dikeluarkan adalah mewakili Pakatan Rakyat yang diwakili oleh PAS, PKR dan DAP.
Untuk makluman, orang bukan Islam telah menjadi pengerusi Majlis tersebut. Ironinya, di sebuah Negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam, tidak adakah orang Islam yang lebih layak untuk menjadi moderator/pengerusi di Forum ini?. Apakah Locus si Moderator ini untuk menjadi moderator forum sebegini rupa?  Adakah kesemua ahli parti komponen di dalam pakatan rakyat meredhokan perkara ini? Adakah acara ini mendapat pengiktirafan oleh kesemua YB didalam pakatan rakyat yang beragama Islam dan berbangsa melayu? 

Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah kehadiran YB Mujahid Yusuf Rawa sebagai salah seorang panelis yang mewakili PAS. Ada beberapa perkara persoalan yang harus kita teliti mengenai perkara kehadiran beliau. Pertama: adakah kehadiran beliau ini telah diberikan endorsemen oleh PAS Pusat? Kedua: apakah YB Mujahid yang mewakili PAS bersetuju dengan  kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah bahawa hak kebebasan memilih agama sepatutnya tidak terhad kepada non-Muslim tetapi juga kepada semua rakyat dimana dimaksudkan ianya termasuk dengan orang Melayu yang beragama Islam? Jika jawapannya YA, maka ini boleh mencetuskan kembali satu isu fundamental, iaitu adakah fenomena murtad boleh dilihat dari sudut “hak asasi manusia” bagi seorang Muslim?
Kedua, apakah Locus Standi atau hak sebuah gereja untuk menganjurkan forum untuk membincangkan isu umat Islam dan Negara Islam? Apakah agaknya reaksi yang bakal kita lihat sekira pihak JAKIM atau mana mana badan Islam menganjurkan suatu forum yang membincangkan atau mempersoalkan perkara-perkara yang mendasar berhubung isu-isu kepercayaan agama Kristian atau soalan negara Kristian? Adakah pihak gereja akan bersetuju untuk memberi kebenaran kepada mana-mana NGO Islam atau badan-badan Islam yang lain untuk menganjurkan suatu forum di dalam Masjid membincangkan tentang, sebagai contohnya, “Apakah perbeza antara Kristian Katholik dengan Kristian Protestan: Versi Siapa Yang Betul? Dan Tanggungjawab Siapa?” 

Sudah tentu, jika ada badan Islam yang melakukannya, maka hampir pasti ramai penganut agama Kristian di Negara ini yang bakal bangkit menentang dan membantah perkara ini. Namun oleh kerana Negara ini diperintah dibawah asas perlembagaan maka perkara ini boleh dikawal dan sudah tentu NGO Islam yg menganjurkannya akan diambil tindakan undang undang. Persoalannya sekarang ini, apakah pihak berkuasa samada JAIS atau pihak berkuasa yang berkenaan akan mengambil tindakan undang undang mengenai perkara ini? Namun yang demikian, sekiranya perkara ini sekadar dianjurkan sebagai perdebatan ilmiah di sebuah university dalam forum Teologi, mungkin apa yang berlaku adalah perdebatan ilmiah sahaja. Memang di Malaysia kini seperti sudah menjadi suatu keghairahan untuk memperdebatkan hampir segala isu kemasyarakatan dan kemanusiaan, sehinggakan, kadang-kala kita padat menyaksikan perdebatan-perdebatan sudah tidak mengendahkan sensitiviti-sensitiviti yang sedia ada di dalam sesebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Saya sangat yakin bahawa rata-rata di Malaysia dewasa ini, masyarakat Islam semakin tertanya-tanya mengapa terdapat gerakan Kristian atau gereja begitu berani membincangkan dan mempersoalkan isu-isu Negara Islam dan Islam itu sendiri di tengah-tengah masyarakat yang majoritinya Muslim?  Dari manakah pihak gerakan Kristian atau gereja mengumpul keberanian yang sebegitu rupa? Adakah ianya berpunca dari sokongan dan dokongan yang tidak berbelah-bagi daripada segelintir wakil rakyat pembangkang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu? 

Tetapi apabila ada YB Melayu beragama Islam dan mempunyai fahaman Islam Liberal ini membuat kenyataan maka ianya akan memberikan laluan kepada pengerak agama lain membina persepsi bahawa jika sudah ada orang Melayu Islam boleh mempertikaikan peruntukan perlembagaan yang melindungi agama Islam itu sendiri, maka kenapa kita (mereka orang yang bukan beragama Islam) tidak mengambil inisiatif untuk terus mendesak agar perkara ini di tuntut oleh mereka. 

Dalam kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah, yang perlu kita faham ialah kewujudan bangsa Melayu dengan status Melayu adalah kerana agama Islam. Hubungan Melayu dan Islam sangat sinonim, sehinggakan peruntukkan Perlembagaan dibuat di Artikel 160 bahawa salah satu ciri Melayu, selain mengamal adat resam Melayu dan berbahasa Melayu, ialah dia mesti beragama Islam.

Paksi kewujudan Negara ini adalah Tanah Melayu, dan agama Islam sudah lama bertapak di Tanah Melayu ini berkurun yang lampau. Oleh itu bolehlah kita katakan bahawa Tanah Melayu ini adalah Tanah Melayu yang beragama Islam sehinggalah datangnya penjajah yang datang menyebarkan agama Kristian Katolik dan Prostestan di Negara ini, namun agama Islam masih menjadi agama unggul. Kesuciannya tercemar, tetapi agama Islam masih menjadi agama dominan di Tanah Melayu ketika itu.  
Dengan aliran sejarah yang jelas ini, maka setelah negara bangsa wujud melalui Perlembagaan, maka sudah diwartakan, bahawa orang Melayu itu adalah beragama Islam secara otomatis. Dan agama Islam menjadi agama dominan di Negara ini walaupun peruntukan perlembagaan memberikan kebenaran untuk agama lain diamalkan tetapi tidak diberi keizinan melakukan penyebaran terhadap kepercayaan agama itu kepada umat Melayu khususnya. 

Naib Presiden Nurul Izzah telah membentuk satu phenomenon yang baru dalam pola pemikiran manusia di Malaysia amnya, bahawa atas kedudukan hak seseorang manusia, maka ianya berhak menentukan agamanya. Adakah segala cetusan ide baru itu baik untuk umat Islam? Walaupun ianya bukan satu promosi kepada kemurtadan tetapi kenyataan ini boleh boleh dilihat sebagai satu aliran pemahaman yang memberikan keluasan hak manusia terutamanya Melayu untuk memilih agama lain selain Islam. Dengan tidak secara langsung ianya adalah sebuah persepsi bahawa orang Melayu juga harus diberikan hak untuk memilih agama lain selain Islam. Jika hak ini dilaksanakan maka ada kebarangkalian orang Melayu yang lahir sebagai beragama Islam secara otomatis mungkin sudah tidak lagi lahir sebagai beragama Islam kerana undang undang ini akan ditukar oleh mereka untuk memberikan laluan kepada Melayu yang dilahirkan ini memilih agamanya. Ingin saya menarik perhatian bahawa Naib Presiden PKR Nurul Izzah itu menyebut bahawa “Tiada desakan dalam beragama…mana boleh kita kata ‘maaf ini (kebebasan beragama) hanya untuk bukan Islam sahaja’, ia seharusnya dilaksanakan sama rata,”..Sememangnya betul bahawa Islam tidak mendesak sesiapa yang diluar Islam memeluk agamanya tetapi ungkapan atau firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 256  ini hanya berlaku kepada orang kafir yang belum beriman kepada Allah. 

Allah SWT berfirman : ertinya : " Barang siapa kafir kepada Allah sesudah ia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah), kecuali orang-orang yang
dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman
(dia tidak berdosa), akan tetapi orang yang melapangkan
dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya
dan baginya azab yang besar".....(16:106).
Allah juga menyatakan: "Bagaimana Allah akan menunjuki suatu kaum yang kafir
sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahwa
Rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul dan keterangan-
keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak
menunjuki orang-orang yang zalim."....(
Ali Imran:86).

"Mereka itu balasannya ialah: bahawasanya laknat Allah
ditimpakan kepada mereka (demikian pula) laknat para
malaikat dan manusia seluruhnya"..
.......
(Ali Imran: 87).
Dalam ayat yang lain, Allah berfirman: Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu : "Jika mereka berhenti dari kekafirannya, nescaya Allah akan mengampuni mereka tentang dosa-dosa mereka yang lampau, dan jika mereka kembali lagi kafir (murtad) sesungguhnya akan berlaku sunnah Allah terhadap sebagaimana orang-orang terdahulu; Perangilah mereka supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu untuk Allah semata-mata " (Al-Anfaal : 38-39)

Apakah hukumannya...Rasulullah SAW telah memberikan hukumannya tersebut. Baginda bersabda,  Ertinya: Dari Ibnu Abbas ra : Sesiapa yang menukar agamanya (Islam) maka hendaklah kamu membunuhnya" ( Riwayat Bukhari 2/280; Abu Daud (4351); Tirmizi 145 ; Nasaie, 7/104 dan Ahmad ,1/282)  (begitu banyak firman Allah dan sabda Rasulullah tentang Murtad dan hukumannya. Di nasihatkan agar Naib Presiden PKR Nurul Izzah merujuk kepada pakar agama Islam dengan wakil PAS)

Imam Ibn Rejab al-Hanbali pula ketika mensyarahkan hadith ini telah berkata : "Hukuman bunuh bagi setiap satu dari kesalahan ini adalah disepakati oleh ulama Islam seluruhnya" ( Jami' al-‘Ulum wal Hikam, dgn tahqiq Syeikh Syuaib, cet ar-Risalah)

Yusof al-Qaradhawi mengatakan bahawa telah ijma' fuqaha' Islam bahawa hukuman bagi murtad adalah bunuh selepas Istitab. Perkara ini telah disahkan oleh Al-Allamah Imam Ibn Rejab al-Hanbali (w 795 H) di dalam kitabnya Jami' al-'Ulum wa al-Hikam (Syarh Hadith ke 14, cet al-Maktabah al-'Asriyah, hlm 134). Imam Muhd Abu Zuhrah (cendikiawan Islam terhebat di zamannya, w 1972 m) juga mengesahkan kesepakatan ulama' ini. (Lihat Al-uqubah, hlm 172)
Persoalannya, dimana yang dikatakan bahawa orang Melayu yang sudah beragama islam sejak lahir itu diberikan kebebasan memilih agamanya sendiri? Allah swt dan Rasulullah saw telah begitu jelas memberikan pertunjuk dan jalan penyelesaiannya. Kenapa kita manusia dibumi ini memandai mandai menentang firman Allah dan perintah Rasulullah ini? 

Naib Presiden PKR Nurul Izzah juga berkata : seharusnya tidak wujud sebarang perbezaan antara agama Islam dan agama lain di negara ini. Apakah maksud Naib Presiden PKR Nurul Izzah? Adakah agama Islam itu sama dengan agama Hindu, Buddha, Kristian? “Seharusnya tidak wujud sebarang perbezaan ini” yang dikatakan oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah ini apa? Apa dalil dan asas kenyataan ini? Kenyataan ini jelas ianya beridealogikan pluralisme.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah berkata, jika iman seseorang itu kukuh, ia tidak mudah goyah dengan pendakwahan agama lain. Tetapi, adalah lebih baik jika kita mengelakkan perkara perkara luar seperti pendakwahan kristianisasi ini berlaku daripada kita cuba menguji sejauhmana iman seseorang. Apakah Naib Presiden PKR Nurul Izzah yakin bahawa umat Melayu di Negara ini sudah cukup kuat imannya?  Dan siapa Naib Presiden PKR Nurul Izzah untuk menentukan seseorang itu sudah kuat imannya atau tidak? Dan jika pandangan Naib Presiden Nurul Izzah itu mahu diterjemahkan, maka Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan wajib dipinda dengan menghapuskan ciri “Melayu itu wajib Islam”. Apakah sudah ada Gerakan Anti Perlembagaan Malaysia sekarang ini? Memandangkan pandangan ini dibuat oleh anak ketua pembangkang, adakah ianya mewakili pandangan semua parti komponen pembangkang termasuk Parti Islam SeMalaysia

Selain persoalan memberikan hak kepada orang Melayu untuk memilih agamanya, Naib Presiden PKR Nurul Izzah juga mengatakan bahawa golongan LGBT ini hendaklah dihormati privasinya. Naib Presiden PKR Nurul Izzah juga turut mempertikaikan undang-undang di negara ini berkaitan dengan halangan terhadap Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT). Menurutnya, selain daripada tempat awam, pihak berkuasa tidak wajar untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan gejala tersebut di tempat peribadi. 

Kalau begitu, jika ada orang yg melakukan zina, maka pihak JAIS tidak boleh menyerbu masuk ketika perkara zina berlaku atas dasar menghormati privasi mereka dan hak mereka melakukan zina di tempat peribadi. Adakah ini yang dimaksudkan oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah? Inikah yang diperjuangkan oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah dan Parti Islam SeMalaysia? Adakah ini bermakna melakukan zina atau apa jua aktiviti LGBT secara peribadi lebih mulia kedudukannya dari mencegahnya daripada berlaku menurut Al Quran?
Naib Presiden PKR Nurul Izzah berkata lagi, jika undang-undang itu dilaksanakan juga di tempat peribadi ia tidak menghormati hak privasi seseorang. Beliau berkata “Dalam Islam terdapat sekatan berhubung isu LGBT ini. Tapi apa yang penting ialah kita tidak menjadikan golongan ini sebagai mangsa. Kita harus terima mereka ini. 

Jika kita perhatikan kenyataan di atas, maka kita boleh bertanya kepada Melayu Liberalis ini apakah Allah telah menjadikan kaum Nabi Luth ini “mangsa” sepertimana Allah berikan balasan kepada kaum Nabi Luth a.s.? Apakah Allah akan menerima mereka ini? Jika mereka bertaubat, ya benar Allah akan menerima mereka semula. Tetapi jika mereka ingkar, apakah Allah akan menerima mereka? Yang penting disini bukan kepentingan mereka tetapi kepentingan Islam dan masyarakat Islam itu sendiri. Yang penting, sebagai orang Islam kita wajib mempertahankan Islam bukan mempertahankan Hak Asasi Manusia yang bergerak di luar batasan Islam.
Kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah lagi, ““Pelaksanaan (undang-undang ketika ini) tidak menghormati (pelaku) dan tidak membawa sebarang makna dari segi Islam dan juga mana-mana agama. Kita (Muslim) ada sekatan-sekatan tertentu, tetapi ia tidak seharusnya menceroboh ruang privasi,” tegas beliau “Sebagai seorang Muslim, saya boleh terima LGBT. Pada saya, sesiapa yang melakukan orientasi seks mereka di tempat peribadi, kita tidak boleh mengambil tindakan (terhadapnya). Sebagai seorang Muslim, saya tidak boleh menerima ini”. 

Naib Presiden PKR Nurul izzah mengatakan dirinya sebagai Muslim – yakni orang Beragama Islam, boleh menerima LGBT? Bukankah kenyataan dan pandangan ini bertentangan dengan ajaran Islam dan tuntutan Allah swt.  Sebagaimana yang kita maklum, Allah melaknati manusia LGBT ini. Adakah ini diredhai oleh ahli Parti Islam SeMalaysia? Apakah Naib Presiden PKR Nurul, sudah lupa kepada kisah Nabi Luth a.s.? Adakah ahli PAS juga sudah lupa dengan kisah Kaum Nabi Luth a.s.?  
Kesimpulannya, tujuan utama Naib Presiden PKR Nurul Izzah memberikan pandangan sebegini adalah kerana ianya mahu meraih undi golongan “urban” yang rata rata mempunyai pemikiran liberalis. Naib Presiden PKR Nurul Izzah disatu sudut apabila berada dikelompok melayu liberalis ini maka dia akan menceritakan dan memberi pandangan serta mendengangkan perkara dan isu yang sedap didengar dan mahu didengar oleh golongan ini. Apabila berhadapan dengan Melayu yang tinggal dikawasan luar bandar yang rata rata fundamentalis Muslim, maka ia akan berteriak dan beria ria menengakkan daulah islamiah dengan konsep dan manhaj al adlu wa ihsan. 

Allah pernah berfirman dalam surah AL Baqarah ayat 14; “Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman, mereka berkata: “kami telah beriman.” Tetapi apabila mereka kembali kepada setan setan (puak puak mereka, pemimpin-pemimpin, golongan golongan) mereka, mereka berkata “sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanya berolok olok”.

Benarlah firman Allah swt ini. Inilah sifat orang munafik dan oportunis. Lain dibibir, lain dihati. Lain diungkap lain pula yang jadi. Naib Presiden PKR Nurul Izzah telah meletakkan dan mempromosikan dirinya sebagai Melayu Liberalis dan Melayu oportunis kelas pertama. Kenyataan Naib Presiden PKR Nurul Izzah jelas sekali,  satu kenyataan politik yang mahukan undi golongan “urban” bagi mendapatkan faedah politik PKR. Ini menampakkan kesanggupnya untuk berbuat apa saja demi meraih undi untuk ke putrajaya sehingga maruah dan integrity Islam diperdagangkan dan pergadaikan. Adakah ahli PAS merestui “lelongan” agama yang sebegini rupa dan adakah masyarakat melayu Islam di Malaysia telah bersedia menerima politik hipokrasi seperti ini??? Dengan mengambil sikap berdiam diri, adakah ini juga pendirian dan perjuangan Mursyidul Am dan Presiden PAS? Kata pepatah Melayu..  “kalau diam tandanya setuju” Adalah menarik untuk sama sama kita menunggu dan melihat apakah babak drama seterusnya. ??? 

Sebagai penutup saya ingin mengajak para pembaca untuk merenungkan adakah tindakan pihak gerakan kristian atau gereja dengan beraninya menganjurkan forum sebegini rupa sebagai babak kedua untuk menguji dan meramal tahap kesabaran masyarakat Islam di Negara ini setelah mereka berjaya memainkan babak pertama mereka iaitu berjaya mendapat sokongan PAS dalam isu Kalimah Allah????

Penulis adalah Prof Dr Mohd Zainul Fithri Dato’ Othman, Pengarah, LEAD Institute Malaysia dan seorang penganalisa Politik tanah air.